Cart 0

7 LANGKAH MUDAH & TIPS HIASAN DALAMAN RUMAH BAJET

Pada hari ini terdapat semakin banyak kediaman bersaiz kecil seperti rumah kos rendah dan rumah mampu milik di pusat bandar Kuala Lumpur dengan saiz kecil serendah 600 kaki persegi. Dengan kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan purata yang rendah, hiasan dalaman bukanlah menjadi agenda utama bagi pemilik atau penyewa kediaman jenis ini. Namun, adakah impian untuk memiliki kediaman yang dihias cantik sesuatu perkara yang benar-benar mustahil?

Tiada Lagi Alasan

Adalah menjadi satu keperluan bagi setiap insan untuk hidup dengan serba mencukupi dan selesa. Ini termasuklah mendapatkan makanan yang berkhasiat, pelajaran yang berkualiti, pengangkutan yang selamat dan juga tempat tinggal yang selesa.

Rumah adalah tempat untuk kita berehat setelah penat seharian berkerja. Ia adalah tempat kita berimpian untuk membina sebuah rumahtangga yang bahagia. Maka sudah pasti kediaman kita seharusnya selesa dan kondusif untuk dinikmati bersama oleh seluruh ahli keluarga buat bertahun-tahun lamanya.

Kualiti binaan atau material tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menghias rumah. Ini kerana, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Aspek-aspek seperti cat dan pencahayaan boleh dimanipulasi untuk mencapai hasil yang dikehendaki. Pelbagai jenis lampu LED dan sebagainya sudah pasti boleh didapati dengan murah di kedai-kedai DIY atau internet. Begitu juga alas kaki, rug, bantal, ruang simpanan, tekstil dan lain-lain. Dengan sedikit pengetahuan ‘do it yourself’ (DIY) dalam pendawaian, pertukangan dan lain-lain, kita dapat mengurangkan kos hiasan dalaman dengan ketara.

Persoalannya kini, adakah kita mahu? Jika ya, tahniah dan teruskan membaca…


Terlebih Dahulu, Pengurusan Ruang!

Ruang yang kecil bukanlah menjadi satu halangan untuk menjadikan rumah kita lebih selesa, kemas dan cantik untuk didiami. Malahan, ianya lebih mudah untuk dihias tanpa memerlukan banyak kerenah.

Menurut Eric Leong, hos rancangan hiasan dalaman Casa Impian yang pernah popular suatu ketika dahulu, kelemahan menguruskan ruang sebenarnya adalah faktor utama. Terdapat rumah yang besar tetapi masih kelihatan sempit kerana pemilik gagal menguruskan ruang dengan baik. Rumah di Jepun contohnya kelihatan sangat kemas walaupun mereka tinggal di rumah yang lebih kecil. Ini kerana, orang Jepun mahir menguruskan ruang dengan baik.

Bagi pemilik kediaman bersaiz kecil, kita perlulah melakukan transformasi diri sebelum melakukan transformasi kediaman. Jadi sebagai langkah pertama, kenalpasti keperluan berbanding kemahuan.

Apakah kita benar-benar perlukan perabot atau perkakasan tersebut? 

Adakah semua baju dan seluar kita dipakai secara kebiasaan? 

Perlukah membeli alat mainan lagi? 

Adakah semua pinggan mangkuk digunakan secara kebiasaan atau terperap dalam kabinet? 

Ini adalah contoh-contoh pertanyaan untuk membezakan di antara keperluan dan kemahuan.

Sebelum memulakan proses transformasi kediaman anda, lakukan pembersihan ini sehingga cuma barang-barang yang diperlukan sahaja yang tinggal. Jual barang-barang yang tidak diperlukan sebagai dana tambahan bagi projek menghias rumah anda.

Sedikit-Sedikit, Lama-Lama Jadi Bukit

Proses menghias rumah sehinggalah mencapai hasil yang dikehendaki akan mengambil masa lebih-lebih lagi jika kita mempunyai bajet yang terhad dan perlu DIY atau menghasilkan barang-barang hiasan sendiri. Ada yang mengambil masa sebulan, 3 bulan malahan ada yang sampai bertahun-tahun. Namun hasilnya sangat memberansangkan! Apa yang penting ialah kita  mulakannya hari ini.

Sebagai motivasi, saya kongsikan di bawah kejayaan mereka menghias rumah kecil dengan kos yang terhad. 


7 LANGKAH & TIPS MENGHIAS RUMAH DENGAN BAJET RENDAH

LANGKAH #1 Kenalpasti konsep hiasan.

Ada pelbagai konsep hiasan seperti kontemporari, minimalis, industri, scandinavian, tradisional, bali dan lain-lain.

Untuk ruang yang telah dipenuhi dengan perabot sedia ada, kenalpasti elemen utama yang terdapat pada perabot tersebut seperti material, warna, corak, bentuk dan lain-lain.Jika menggantikan perabot sedia ada bukan pilihan buat kita kerana kos yang tinggi, maka pemilihan konsep perlu berdasarkan jenis dan elemen perabot sedia ada tersebut. Apa jua konsep yang dipilih, pasti di sana ada cara mudah serta murah untuk mencapai hasil yang dikehendaki dengan menggunakan aksesori, warna, fabrik dan lain-lain. Yang penting, kita perlu sedikit kreatif.

KONTEMPORARI


MINIMALIS

INDUSTRI

SCANDINAVIAN

TRADISIONAL

BALI


LANGKAH #2 Kenalpasti skim atau tona warna yang akan digunakan. 

Setelah mengenalpasti konsep, buat carian gambar contoh hiasan dalaman untuk ruang yang berkenaan dan kenalpasti skim warna yang digunakan.kenalpasti skim warna yang digunakan dengan memuat naik gambar tersebut.

Gunakan skim dan tona warna yang selamat seperti putih dan kelabu untuk memberikan kita pilihan yang lebih fleksibel untuk dipadankan dengan perabot, aksesori atau fabrik sedia ada.Sebagai panduan mudah untuk konsep yang umum, pilih 3 warna sama dengan tona yang berbeza (contoh: kelabu muda/tua), 1 warna gelap/terang dan 1 warna striking.



LANGKAH #3 Pelbagaikan tona warna dinding

Menggunakan tona warna berbeza bagi ruang/bilik yang sama akan mewujudkan sensasi mendalam . Ini akan memberikan sensasi sudut, bentuk, kedalaman dan ruang.

Penggunaan dwi-tona untuk ruang yang sama seperti putih dan kelabu akan membuatkan ruang tersebut lebih natural dan tidak seperti berada di dalam kotak yang membosankan.



LANGKAH #4 Pilih dinding yang sesuai dan buat sendiri feature/accent wall.

Dinding yang paling sesuai untuk dijadikan feature wall adalah dinding yang pertama kali dilihat apabila melangkah masuk ke rumah atau ke mana-mana bilik.

Pelbagai teknik mengecat boleh digunakan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli wallpaper bagi mencapai efek yang diperlukan.

Feature wall boleh dihasilkan dengan pelbagai teknik yang kreatif tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi seperti menggunakan bahan-bahan terpakai dan bahan semulajadi seperti batu sungai, pasir dan sebagainya.



LANGKAH #5 Mulakan dengan perabot utama

Jika kita sudah mempunyai perabot sedia ada seperti sofa, meja makan dan almari, kenal pasti jika perabot-perabot ini boleh dicat semula atau dipasangkan sarung baru bagi memadankan skim warna yang telah dipilih.

Pada hari ini juga begitu banyak terdapat perabot terpakai yang murah-murah dan dalam keadaan baik untuk dipadankan. Buat carian di Mudah atau Facebook Marketplace.

Jika menukar warna perabot adalah sesuatu yang mustahil (banyak elemen kayu, rotan) dan kos terlalu mahal untuk membeli perabot baru, maka jadikan warna dan rekabentuk perabot sedia ada tersebut sebagai konsep titik fokal. Ambil kesempatan ini untuk menyusun kembali perabot-perabot utama yang menjadi penghuni ruang tersebut. Cuba bereksperimentasi dengan susunan yang berlainan.



LANGKAH #6 Padankan & seimbangkan dengan rug/carpet dan langsir

Setelah mengenal pasti warna perabot, elemen utama yang terakhir untuk dipadankan atau diseimbangkan dengan perabot, lantai dan dinding adalah langsir dan permaidani. Perhatikan bentuk dan garis perabot dan lantai untuk diseimbangkan dengan corak pada langsir dan permaidani. Kita mungkin perlu mengeluarkan sedikit kos untuk jahitan langsir atau permaidani yang baru jika warna/corak yang sedia ada tidak sepadan.Pemilihan permaidani selalunya menjadi langkah pertama untuk ruang yang masih kosong. Namun, untuk ruang yang sudah dipenuhi perabot, pemilihan warna dan corak permaidani sebaiknya corak kosong / ringkas dan tona yang sepadan. Untuk ruang yang kecil, pilih permaidani yang berwarna lebih cerah supaya ruang tampak luas.



LANGKAH #7 RUANG PENYIMPANAN

Setelah selesai memadankan perabot utama dengan rak dan langsir, perabot sekunder yang perlu diberikan perhatian untuk rumah kecil adalah ruang penyimpanan. Ini termasuk rak, kabinet, kotak, meja dan lain-lain.

Pertimbangkan perabot yang mempunyai fungsi sampingan untuk menyimpan barang seperti storage bench, storage coffee table dan lain-lain.Penggunaan wall shelves juga memberikan ruang tambahan di sebelah atas dinding yang jarang digunakan tanpa membuatkan ruang di sebelah bawah menjadi sempit.

Pelbagai idea DIY untuk ruang penyimpanan boleh didapati di internet untuk mengurangkan kos perbelanjaan.



LANGKAH #8 Aksesori & pencahayaan.

Langkah terakhir adalah melengkapkan ruang-ruang dan perabot dengan aksesori-aksesori yang menepati konsep kita seperti frame gambar, cushion, bekas, pokok hiasan, lilin, jam dinding, raga, pasu, selimut, lampu dinding dan lain-lain.

Langkah ini adalah langkah yang perlu diberi perhatian kerana pemilihan aksesori yang tepat dapat menjimatkan kos tanpa perlu terlalu banyak diletakkan. Dengan sedikit aksesori yang tepat dan sesuai, ia akan menyerlahkan kecantikan ruang tersebut.

Di samping itu, pencahayaan juga memainkan peranan penting untuk menyerlahkan kecantikan ruang. Penggunaan cahaya yang tepat dapat memberikan impak yang sangat berbeza walaupun ruang dihias dengan simple sahaja. Pada masa kini terdapat banyak lampu LED yang mudah dan murah didapati tanpa perlu membuat pendawaian atau plaster ceiling yang menelan belanja yang tinggi.







Older post Newer post