Jaga Kebersihan Diri Untuk Kekal Sihat


Kebersihan diri merupakan perkara asas bagi semua orang. Sejak kecil, antara skil awal yang diajarkan oleh ibu bapa kepada anak ialah membuang air di tandas, membasuh najis, mandi, dan gosok gigi. Itu semua adalah langkah-langkah untuk menjaga kebersihan diri.

Selain sebagai rutin harian, ia sebenarnya sangat penting dalam memastikan badan anda dalam keadaan yang sihat.

Bagaimana menjaga kebersihan diri menjadikan diri sihat?

Setiap hari, badan anda terdedah kepada pelbagai kuman sama ada di kulit atau di dalam mulut. Tambahan pula, badan anda menggugurkan kulit setiap hari. Semua kuman dan kulit tersebut akan terkumpul jika ia tidak dibuang atau dibersihkan seterusnya berpotensi menyebabkan jangkitan.

Langkah rutin harian serta wang yang dihabiskan untuk membeli kelengkapan mandi anda termasuk sabun, pencuci muka, syampu, berus, serta ubat gigi bukanlah sekadar bertujuan membuang bau badan, apatah lagi mengikut trend tetapi paling penting ialah untuk membuang segala kotoran pada badan.

Selain itu, badan yang bersih dan wangi akan menjadikan mood anda lebih baik. Ini akan meningkatkan lagi produktiviti serta keyakinan diri. Mood yang terganggu dan keyakinan diri yang lemah boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Apakah yang anda boleh lakukan untuk menjaga kebersihan diri?

Meskipun kedengaran seperti sangat asas, sebahagian orang masih gagal menjadikan ia sebagai rutin harian. Berikut adalah perkara mudah yang anda boleh amalkan sebagai langkah penjagaan kebersihan diri.

1. Mandi secara berkala

Basuh badan dan rambut anda secara berkala. Sebaiknya adalah untuk mandi setiap hari memandangkan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

2. Berus gigi

Sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Pastikan anda menggunakan berus dan ubat gigi yang berkualiti. Jika anda tahu beban yang perlu ditanggung apabila gigi sudah rosak, tentu anda tidak akan meninggalkan berus gigi.

3. Potong kuku

Pastikan kuku dalam keadaan bersih dan pendek untuk mengelakkan daripada jangkitan terutamanya di kaki.

4. Basuh tangan

Langkah yang mudah ini sangat penting. Tangan yang kotor berpotensi membawa kuman bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga orang lain. Biasakan diri untuk membasuh tangan sebelum dan selepas melakukan sebarang aktiviti.






Older post Newer post