Cart 0

Wang kertas juga boleh jadi punca terkena Covid-19, apa yang harus dilakukan?


Elak transaksi menggunakan wang tunai dan sebaiknya gunakan e-wallet namun jika terpaksa segera cuci tangan dan gunakan sanitizer selepas selesai berurusan.

Mungkin anda menggunakan topeng muka, tidak menyentuh tombol pintu dan tidak bersalaman dengan orang lain untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.

Namun, terdapat satu benda yang kebiasaannya disentuh sebelum ia beralih tangan tapi tidak disedari oleh individu yang menerimanya iaitu “duit” !

Ramai yang tertanya-tanya, jika seseorang itu menggunakan duit kertas yang diberikan oleh individu yang mengalami jangkitan Covid-19, adakah mereka boleh dijangkiti dengan wabak tersebut?


Wang fizikal jadi sumber penting untuk sebar Covid-19

Perkara yang semua orang tahu adalah wang sering bertukar tangan. Urusan harian kita kebanyakannya menggunakan wang namun tiada siapa yang mengesyaki wang sebagai bahan yang mampu menyebarkan kuman.Virus Covid-19 yang kian menular bukan sahaja mudah merebak dari satu individu kepada individu yang lain, ia juga boleh duduk pada permukaan objek untuk satu jangka masa yang lama.

Bayangkan, seorang peniaga atau penjaga kaunter “cashier” bersin dan mereka menggunakan tangan yang sama untuk menyerahkan wang. Itu merupakan satu model jangkitan yang kita sering terlepas pandang.


Jadi bagaimana kuman pada duit tersebut boleh masuk ke dalam sistem pernafasan kita? Kuman tersebut boleh beralih ke tangan kemudiannya muka setiap kali berlakunya sentuhan. Menurut kajian yang diterbitkan di Jurnal Kebersihan Pekerjaan dan Persekitaran, secara puratanya, 10 subjek terlibat menyentuh muka sebanyak 16 kali dalam masa sejam.

Perkara ini turut disokong melalui kajian yang dibuat melibatkan 26 pelajar daripada Wales Selatan. Mereka menyentuh muka sebanyak 23 kali dalam masa sejam. Hampir separuh daripada sentuhan dibuat dengan hidung, mata dan mulut. Melalui model sentuhan ini, kita boleh simpulkan, sentuhan dengan wang yang beralih tangan daripada individu berjangkit boleh menyebabkan penularan wabak.

Beberapa negara di seluruh dunia telah menggalakkan rakyat mereka untuk berhenti menggunakan wang kertas dan syiling untuk menghentikan wabak jangkitan. Muzium Louvre di Paris tidak lagi menerima wang tunai dan Iran telah menggalakkan rakyatnya untuk berhenti menggunakan transaksi tunai.


Berbanding guna duit kertas, adakah transaksi tanpa tunai boleh hindar virus Covid-19?

Pelbagai jenis aplikasi e-Dompet telah dicipta bagi memudahkan urusan tunai tanpa menggunakan wang fizikal. Namun penggunaannya di Malaysia belum lagi meluas. Sistem transaksi ini dianggap leceh dan tidak semudah urusan pertukaran wang fizikal semasa urusan jual beli.

Persoalannya, adakah penggunaan e-Dompet boleh menghindarkan penularan wabak virus Corona? Jawapan ringkasnya? Tidak semestinya begitu. Penggunaan e-Dompet memerlukan telefon pintar. Semua individu sudah sedia maklum telefon pintar merupakan peranti yang paling kotor jika dilihat pada sudut mikro-biologi.

Syarikat Proporta yang menjual bahan aksesori telefon pernah membuat kajian berkenaan dengan hal itu. Menurutnya, secara purata, setiap telefon yang dibawa mempunyai 25,127 kuman per inci persegi. Tangan yang menyentuh bahan yang tercemar dengan virus korona baharu boleh menjadi medium pengantara yang menyebabkan telefon anda tercemar.

Adakah ini bermaksud penggunaan bayaran e-Tunai boleh menyebarkan jangkitan kuman? Tidak sama sekali. Walaupun individu yang mempunyai telefon pintar berisiko untuk mendapat jangkitan wabak, namun tiada peralihan virus semasa proses transaksi. Berbeza dengan duit, transaksi e-Dompet tidak memerlukan peralihan telefon ke tangan penjual.

Mereka hanya perlu mengimbas kod QR atau melakukan transaksi pemindahan wang menggunakan bank di atas talian. Tiada proses peralihan wang yang berlaku di antara dua individu. Ini bermakna risiko penularan jangkitan itu juga berada pada tahap yang rendah. Namun ia tidak mengurangkan risiko pemilik telefon pintar tersebut untuk terkena jangkitan virus memandangkan peranti tersebut bertindak sebagai fomit (objek yang tercemar oleh kuman) yang mampu menyebarkan virus korona baharu.


Penggunaan aplikasi e-Tunai di Malaysia

Meskipun penggunaan duit kertas boleh menggalakkan penyebaran virus Corona, tapi majoriti rakyat di Malaysia masih selesa menggunakan wang fizikal dalam transaksi harian.

Pembayaran secara atas talian hanya dikhususkan untuk perkara tertentu sahaja. Namun, tidak dapat dinafikan kebanyakan servis yang ada di Malaysia sudah menyediakan akses kepada sistem pembayaran menggunakan kad. Jika dilihat secara praktikalnya, ia tidak mampu membendung jangkitan virus Corona memandangkan jurujual sering mengambil kad tersebut semasa proses pembayaran.

Jika sistem urus niaga menggunakan kad melibatkan proses swipe oleh pelanggan sendiri, ia mengurangkan risiko jangkitan dari sumber fomit (kad itu sendiri). Oleh sebab itulah kebanyakan negara menggalakkan rakyatnya menggunakan peranti mereka sendiri untuk membayar transaksi yang dibuat.

Di China, wang fizikal yang telah digunakan akan melalui proses pembasmian virus menggunakan sinar ultra ungu sebelum disimpan selama 7 hingga 14 hari. Menurut Fan Yifei, Gabenor Bank Negara China, pihak bank akan bertungkus lumus bagi menghasilkan wang baharu untuk kegunaan pelanggan.

Jika ditanya kepada penulis, ada baiknya kita menggunakan sistem pembayaran melalui aplikasi e-Dompet seperti Touch n Go e-wallet, GrabPay dan Boost namun ia bergantung kepada lokasi urusan jual beli tersebut. Jika anda sedang berada di pasar basah, sudah tentulah urus niaga hanya guna duit kertas.

Tidak banyak jurujual yang mempunyai keupayaan bagi menyediakan cara pembayaran e-Tunai kepada pelanggan. Yang penting, selepas memberi atau menerima wang, pastikan anda membasuh tangan dengan bersih menggunakan air dan sabun.

Covid-19 baharu boleh tersebar melalui sentuhan dengan objek tercemar termasuklah wang fizikal. Jika anda sering guna duit kertas untuk membayar, mungkin anda boleh mempertimbangkan urus niaga menggunakan e-Tunai bagi menghindarkan jangkitan.

Adakah ini bermakna penggunaan wang fizikal pasti menyebabkan anda berjangkit? Tidak semestinya. Cuci tangan anda dengan menggunakan air dan sabun sebelum dan selepas melakukan urus niaga dengan jurujual.





Older post Newer post